Rabu, 5 Ogos 2009

Sebuah kehidupan-tercatat

Hari ini bermula catatan perjalanan. Sukar untuk membayangkan hidup yang tiada masalah dengan segala terbentang di hadapan, laluinya sahaja. Namun hakikat sebuah kehidupan, tiada yang sempurna. Perjalanan tiada yang mudah. Selagi masih bernafas, tiada jalan pintas. Kita boleh berkongsi suka duka kehidupan. Pendapat tentu berbeza, kerana latar belakang, pendidikan, pengalaman, pergaulan dan tentunya kesempatan yang terhidang. Kita tak ambil,orang lain ambil. Baik ambil.
Mencari perbezaan sama sukarnya dengan mencari jalan mengurangkan perbezaan. Kadang kala ketika dirasakan semakin dekat rupanya kita makin menjauh. Begitu juga perjuangan. Penyanyi lagu juga mengatakan dirinya pejuang, penari, penggiat seni dan tentera juga anggota polis. Ahli-ahli politik samada PAS, UMNO dan KEADILAN tentu saja berteriak bahawa mereka adalah pejuang, untuk bangsa dan tanahair pastinya. Tidak kira parti politik berasaskan kaum yang lain. Semua berjuang untuk siapa agaknya ATAU nama kaum dan bangsa menjadi alas untuk kepentingan peribadi dan kaum kerabat.
Persoalannya masyarakat sekeliling masih tergapai dengan segala tekanan hidup ketika bumi bertuah ini memuntahkan berbagai hasil bumi. Ke mana kekayaan negara, siapa yang merompaknya, bagaimana dirompak atau kita sebenarnya yang berkompromi dan menyinsing lengan, berpeluk melaga pipi bersalam cium tangan dengan perompak yang kita sentiasa nobatkan sebagai PEJUANG BANGSA. Renungkan wajah pemimpin kita, pemerintah atau pembangkang, lihat kehidupannya, wajarkah dia berada di tempatnya sekarang, perlu diangkat atau diturunkan.Fikirkan sedalam-dalamnya.